Aafiyat Lifestyle: Amalan Pemakanan Sihat Sepanjang Ramadan
Pada bulan Ramadan, umat Islam menahan lapar dan dahaga sepanjang hari. Maka, apabila tiba waktu memilih makanan untuk berbuka, kita sering kali akan membeli atau memasak makanan yang sedap dan mudah disediakan tanpa memikirkan kesannya kepada kesihatan. Apatah lagi dengan kemeriahan bazar Ramadan yang menyajikan pelbagai juadah kuih-muih, lauk-pauk dan minuman yang amat menyelerakan. Pada ketika ini, apa sahaja yang teringin pasti akan dibeli.
Oleh sebab itu, sebaik-baiknya kita membahagikan waktu makan kepada beberapa waktu hidangan supaya tidak memberi beban yang teruk kepada perut, di samping memastikan tubuh mendapat kalori yang mencukupi untuk keperluan seharian berpuasa.
Antara amalan pemakanan sihat yang boleh diamalkan semasa bulan puasa adalah:
✅Semasa bersahur, digalakkan mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau biskut mil penuh dan oat. Jenis makanan ini mengambil masa kira-kira 8 jam untuk dicernakan sepenuhnya
✅Semasa berbuka puasa, mulakan dahulu dengan memakan buah kurma kerana ia mengandungi enzim yang boleh membantu proses penghadaman untuk makanan yang kita makan seterusnya
✅Tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran segar
✅Lebihkan pengambilan air sekurang-kurangnya 6 hingga 8 gelas sehari
✅Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam terutamanya ketika bersahur
✅Kurangkan pengambilan makanan/minuman yang tinggi kandungan gula
Semoga bulan Ramadan akan membentuk kita menjadi individu yang bijak memilih makanan yang sihat dan berkhasiat di samping menjalani ibadah puasa yang lebih berkualiti dan sempurna.💪
Rujukan: Kementerian Kesihatan Malaysia