4 Jenis Makanan Terbaik Ketika Ramadhan
✨ Bicara Imam Muda : 4 Jenis Makanan Terbaik Ketika Ramadhan
Antara jenis makanan yang baik untuk diambil di waktu sahur dan berbuka bagi mengekalkan kestabilan kesihatan tubuh kita di bulan Ramadhan :
1. Makanan Yang Tinggi Serat
Selain membantu memberikan tenaga yang berpanjangan, makanan yang tinggi serat juga boleh menggalakkan pencernaan, meningkatkan daya tumpuan, memulihkan rasa pedih ulu hati (gastrik), dan mampu membuatkan kita berasa lebih kenyang dalam tempoh yang lama. Contoh makanan yang tinggi serat seperti Bijirin Oat, buah Kurma, buah Tin, beras perang dan lain-lain.
2. Makanan Yang Kaya Lemak Sihat
Makanan yang kaya dengan lemak sihat sangat diperlukan bagi memberikan tenaga, menggalakkan perkembangan sel dalam badan, melindungi organ, menghangatkan badan, menyerap nutrien, dan juga menghasilkan hormon-hormon. Antara makanan kaya lemak sihat seperti Minyak Zaitun, Minyak Kelapa Dara, Kacang Badam dan lain-lain.
3. Makanan Yang Melancarkan Penghadaman
Untuk mengatasi masalah penghadaman seperti sembelit, kurangkan pengambilan makanan berlemak, bergoreng dan pedas sewaktu sahur. Tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran kerana ia kaya dengan serat dan boleh mengelakkan sembelit. Buah-buahan dan sayur-sayuran juga mengandungi pelbagai vitamin dan mineral yang diperlukan untuk mengekalkan pengambilan nutrisi yang seimbang semasa Ramadhan. Amalkan Brokoli, buah Tin dan Kurma, keledek dan sayur bayam dalam pemakanan.
4. Makanan Tinggi Protein
Makanan berasaskan protein boleh membantu kita kurang penat dan lebih aktif sepanjang hari. Ia juga makanan yang mengambil masa lebih lama untuk hadam dan kita akan merasa kenyang untuk satu tempoh masa yang panjang. Telur, ikan, keju, kekacang dan lentil adalah pilihan yang baik. Jika kita lebih gemar mengambil makanan protein seperti ayam dan daging, pilih bahagian dada ayam atau daging merah pejal. Namun protein lauk bagi nasi yang terbaik seeloknya ikan.