Bingkisan Jumaat : Perbanyakkan Selawat Pada Hari Jumaat
Demikian ujian di akhir-akhir ini amat menyanyat hati kita semua. Keadaan semakin tenat, semakin hebat ujian kita hari ini.
Menitis air mata tatkala melihat video anak-anak kecil kehilangan ibu ayah dek kerana covid. Anak-anak ini kelihatan bingung. Mana ibu ayah ?
Runtun hati saat melihat 'atok nenek' membahayakan diri saat pandemik hanya untuk menjaja ulaman demi sesuap nasi. Allah Allah !
Setiap dari kita pasti ada ujiannya. Saat beginilah bibit rindu kepada Baginda Nabi SAW benar terasa. Insan yang telah meninggalkan kepada kita 2 khazanah agung yaitu Al-Quran dan Al Sunnah sebagai rujukan dan penguat semangat untuk kita terus gagah saat ujian sebegini.
Sampaikanlah rindu itu dengan perbanyakkan selawat kepada Baginda Nabi SAW.
Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” [Riwayat al-Baihaqi (5995)]
Sollu Ala Nabi !