Mudah Rasa Letih, Mata Kuning, Perut Buncit...Awas Ia Mungkin Hati Berlemak
Mudah Rasa Letih, Mata Kuning, Perut Buncit...Awas Ia Mungkin Hati Berlemak
Hati adalah organ yang terbesar dalam badan manusia yang membantu tubuh untuk mencerna makanan, menapis racun dan toksik serta menyimpan tenaga. Namun, lebih kurang 24 peratus populasi penduduk dunia mengalami masalah hati berlemak yang di sebabkan lemak terkumpul di dalam hati.
PUNCA
Punca penyakit hati berlemak kebiasaannya disebabkan tabiat pengambilan alkohol yang boleh merosakkan sel hati, mengakibatkan keradangan dan melemahkan sistem pertahanan semula jadi tubuh manusia. Namun bagaimana pula bagi orang yang tidak mengambil alkohol ?
Hati berlemak bukan alkohol adalah keadaan yang disebabkan oleh paras lemak yang tinggi dalam hati. Diabetes, atau pra-diabetes (rintangan insulin), berat badan berlebihan atau obesiti, paras lipid darah yang tinggi seperti kolesterol dan trigliserida, serta tekanan darah tinggi boleh menjadi punca bagi keadaan ini.
Faktor gaya hidup juga menjadi punca kepada terjadinya penyakit hati berlemak ini seperti pengambilan gula yang tinggi, berat badan berlebihan dan kurang melakukan aktiviti fizikal. Jadi jom kita lihat bagaimana perbezaan hati yang sihat dan hati yang berlemak.
GEJALA
Hati berlemak kebiasaannya bertindak secara senyap dengan beberapa gejala atau tanpa gejala. Mudah rasa letih dan tidak berasa selesa di bahagian atas sebelah kanan perut. Bagi mengesan penyakit hati berlemak, kebiasaannya doktor akan bertanya mengenai sejarah perubatan selain melakukan pemeriksaan fizikal termasuk ujian darah. Kemudian, mata seseorang itu kekuningan dan perut yang buncit juga merupakan petanda awal terjadinya hati berlemak.
PENCEGAHAN
Kebanyakan pesakit sudah berada di peringkat akhir barulah nak buatkan rawatan kerana tidak menyedari tentang penyakit itu atau tidak bergejala. Jadi, mereka merasa diri mereka sihat dan tidak ada apa-apa penyakit. Oleh itu, saringan kesihatan untuk pengesanan awal penyakit ini sangat penting terutamanya bagi golongan berisiko dan sudah berusia.
Buat pesakit hati berlemak dalam peringkat awal, keadaan mereka masih lagi boleh dipulihkan dengan mula untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat dari segi pemakanan, aktiviti fizikal dan mengawal berat badan. Pemeriksaan doktor secara berkala perlu dibuat bagi mengesan perubahan hati kita.