33 Bicara Ulama Tentang Zaitun

1. Al-Allamah Sayyid Kamal Faqih Imani (تفسير نور القرءان) :
“Minyak zaitun sangat baik untuk hati, dalam masa yang sama, sangat efektif untuk menghilangkan kondisi yang buruk pada buah pinggang, batu hempedu, kepekatan mineral dalam tubuh, pedih ulu hati, nefritik dan hepatik, di samping itu juga untuk menghilangkan gejala-gejala sembelit.”
2. Imam Fakhruddin al-Razi (تفسير الکبير للرازي) menafsirkan ayat 99 surah al-An’am :
“Dari keempat jenis buah yang disebut di dalam ayat ini, yang pertama disebut adalah kurma kerana al-Quran turun dalam masyarakat arab (Nabi Muhammad SAW) dan kurma merupakan makanan yang dapat menggantikan makanan asasi. Selepas kurma disebut pula anggur kerana ia merupakan buah yang istimewa serta dimanfaatkan dengan berterusan. Kemudiannya Zaitun, merupakan buah yang sangat banyak manfaatnya, darinya pula diperoleh minyak yang sangat jernih, di samping buahnya yang lazat. Ia dapat dimakan bersama kulit dan dapat juga dibuang kulit. Yang terakhir adalah delima, satu buah yang sangat mengagumkan. Hanya empat ini yang disebut oleh ayat di atas sebagai mewakili buah-buahan yang lain.”
3. Imam Muwafiquddin al-Baghdadi (الطب من الکتاب والسنة) :
“Semua jenis minyak mempunyai kemudharatan melainkan minyak zaitun.”
4. Abdullah Ibnu Abbas r.a, dinaqalkan dalam (تفسير الطبري) :
“Dalam zaitun terdapat sangat banyak manfaat, dan ianya juga boleh menghasilkan minyak. Zaitun merupakan makanan. Zaitun boleh digunakan untuk menyamak kulit dan menjadi bahan api, kayunya juga boleh dimanfaatkan sebagai kayu api. Semua yang terdapat dalam keseluruhan pokok zaitun pasti ada manfaatnya. Termasuk abunya juga yang boleh digunakan untuk mencuci sutera.”
5. Imam ath-Tha’labi (الکشف والبيان عن تفسير القرءان) :
“Al-Quran telah mengungkapkan nama zaitun dengan sangat indah dan menarik. Bahkan ia diulang-ulang disebut oleh Allah. Zaitun tumbuh di kawasan padang pasir, tumbuh terbuka pada permukaan bumi dan tidak terhalang mendapat sinaran matahari. Itulah sebabnya kenapa minyak yang dihasilkan zaitun amat berkualiti.”
6. Ibnu Sina (قانون في الطب) :
“Beramal dengan zaitun boleh menjaga rambut, mencegah uban di awal usia, menguatkan badan, bermanfaat untuk kudis, dan termasuk dalam amalan pencegahan untuk sakit sendi dan melancarkan pergerakan.”
7. Imam Ibnu Zaid :
“Zaitun termasuk jenis pohon yang tumbuh di bumi Syam. Pohon yang tumbuh di bumi Syam termasuk pohon yang terbaik. Ini kerana Syam adalah bumi yang penuh berkat.”
8. Imam Jalaluddin (تفسير الجلالين) :
“Antara pohon yang penuh berkat adalah pohon zaitun, yang ianya tidak dikhususkan bagi timur dan barat, akan tetapi antara keduanya. Sehingga bergantinya suhu panas dan sejuk tidak membahayakan pohon ini.”
9. Imam as-Showi (حاشية الصاوي علی الجلالين) :
“Zaitun tidak tumbuh di sebelah timur dan tidak juga di sebelah barat. Bermakna pohon ini tumbuhnya di tengah, dan kawasan tengah itu letaknya di Syam. Pohon zaitun di wilayah Syam adalah yang paling berkualiti.”
10. Imam al-Qurtubi (الجامع لأحکام القرءان) :
“Berkenaan firman Allah tentang zaitun yang kedudukannya “tidak di sebelah timur dan tidak di sebelah barat”, para ulama berbeza pendapat mengenai perkara ini. Ikrimah, Qatadah dan lain-lain berkata : yang dimaksudkan dengan syarqiyyah adalah daerah yang disinari matahari semasa terbit dan tidak semasa tenggelam. Ini kerana daerah itu mempunyai penghalang. Sementara yang dimaksudkan gharbiyyah pula adalah sebaliknya.”
11. Imam Syed Qutb (تفسير في ظلال القرءان) :
“Berkenaan firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 “yang dinyalakan daripada minyak dari pohon yang banyak berkatnya, (iaitu) pohon zaitun…” : Cahaya minyak zaitun termasuk cahaya yang paling bening dan bersih. Tetapi bukan hanya itu yang menjadikan zaitun sebagai tumbuhan contoh dalam ayat tersebut. Selain itu juga disebabkan naungan Lembah Thur yang disebut dalam surah al-Mukminun ayat 20 yang diberikan oleh pohon yang penuh berkat itu, yang merupakan lembah suci tempat pohon zaitun ditemui dan tempat paling dekat dengan Jazirah Arab.”
12. Imam az-Zahabi (الطب النبوي) memasukkan hadis daripada Uqbah Bin Amir, “Hendaklah kamu semua menggunakan minyak zaitun. Gunakanlah minyak zaitun dan berlumur dengannya. Kerana minyak zaitun amat bermanfaat bagi menyembuhkan buasir.”
13. Qatadah menyebut :
“Antara kegunaan minyak zaitun juga disapukan di bahagian badan di tempat yang terasa sakit.”
14. Imam Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad az-Zahabi :
“Minyak zaitun adalah penawar keracunan bagi orang miskin. Zaitun yang berwarna hijau dan amat cepat keringnya amat baik untuk bahan makanan, menguatkan perut, meningkatkan selera makan, serta mencegah sesak dada. Manakala zaitun yang masin amat bermanfaat untuk luka terbakar. Memakan daun zaitun pula amat bermanfaat untuk ulser pada bibir, bisul, kebas dan keradangan pada kulit.”
15. Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah (زاد المعاد) :
“Minyak zaitun akan menutup liang roma tubuh. Apabila digunakan setelah mandi dengan air panas, akan menghaluskan dan melembapkan tubuh. Jika disapukan pada rambut pula akan mencantikkan dan memanjangkan rambut. Amat berguna untuk mengubati penyakit campak dan penyakit kulit lainnya.”
16. Ibnu Abbas r.a ada meriwayatkan :
“Apabila tangan atau kedua kaki orang yang berihram berlakunya pecah-pecah, hendaklah dia menyapunya dengan minyak zaitun atau minyak samin (lemak haiwan, unta, lembu dll).”
17. Imam Ibnu al-Baitar (الجامع لمفردات الأدوية والأغذية) ketika menulis ilmu perubatan banyak memasukkan penggunaan minyak zaitun sebagai kaedah rawatan utama dalam merawat pelbagai penyakit.
18. Imam Daud al-Antaki :
"Zaitun berasal dari pohon-pohon yang mempunyai takdir yang jelas, ianya sangat penuh dengan manfaat. Ia ditanam dari bulan Oktober hingga Disember, sehingga ianya mampu bertahan selama empat tahun, kemudian berbuah dan bertahan selama seribu tahun."
19. Ibn Manzur (لسان العرب) :
“Zaitun tercatat pada 7 ayat di dalam al-Quran dengan perkataan al-zaitun sebanyak 4 kali, zaitun 1 kali dan zaitunah 1 kali. Manakala satu ayat yang lain dalam surah al-Mukminun ayat 20 tidak dinyatakan perkataan zaitun, tetapi perkataan syajarah yang bermaksud pohon dalam ayat tersebut menggambarkan pohon zaitun berdasarkan tafsiran ulama‟. Maksud zaitun menurut Ibn Manzur ialah pokok yang seperti semua ketahui, perkataan zaitunah bermaksud sebiji buah zaitun manakala zaitun menunjukkan banyak buah zaitun. Perkataan al-zait pula bermaksud minyak yang keluar daripada buah zaitun.”
20. Imam Ismail Bin Kathir (تفسير ابن کثير) & Fakhruddin Ar-Razi (تفسير فخرالرازي) :
“Allah memuliakan pohon zaitun kerana buahnya yang banyak manfaat, segar dan apabila diperah akan mengeluarkan minyak yang sangat bermanfaat.”
21. Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni (تفسير ميسّر) :
“Allah SWT menumbuhkan pohon zaitun yang memiliki berbagai manfaat, di antaranya sebagai hiasan, makanan dan juga ubat.”
22. Dr Muhammad Quraish Shihab (تفسير المصباح) yang memetik dari kitab المنتخب في تفسير القرءان الکريم :
“Pohon zaitun termasuk salah satu dari kurniaan Allah yang sangat besar kerana ia merupakan jenis pohon kayu yang berumur ratusan tahun. Manusia dapat memetik hasil dari buahnya untuk masa yang sangat panjang. Selain itu, penelitian mutakhir ini juga membuktikan bahwa zaitun merupakan bahan makanan yang mengandungi kadar protein yang cukup tinggi. Zaitun juga mengandungi mineral, zat besi, dan fosforus yang merupakan bahan makanan terpenting bagi manusia. Lebih dari itu, zaitun mengandungi vitamin A dan B. Dari buah zaitun dapat dihasilkan minyak yang pada umumnya juga digunakan sebagai bahan makanan. Sementara, dari segi kesihatan, penelitian terkini membuktikan bahwa zaitun bermanfaat untuk alat pencernaan pada umumnya terutama hati. Mutu minyak zaitun juga melebihi minyak-minyak lainnya, baik minyak sayuran atau minyak haiwan lainnya, kerana ia tidak mendatangkan kesan sampingan yang dapat menimbulkan penyakit pada peredaran dan pembuluh darah arteri seperti yang terdapat pada jenis minyak lainnya. Zaitun juga dapat digunakan sebagai bahan penghalus kulit, di samping kegunaan-kegunaan industri lain seperti industri pembuatan sabun, di mana zaitun merupakan salah satu bahan campuran yang terbaik.”
23. Abu al-Fida’ Ismail ibn ‘Umar ibn Kathir al-Qursyi ad-Dimasyqi (تفسير القرءان العظيم) menyebut :
“Abu Ja’far ar-Razi meriwayatkan dari Ubay bin Ka’ab r.a tentang firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 pada maksud kalimah “La Syarqiyyah Wa La Gharbiyyah” beliau berkata : “Iaitu pohon zaitun yang hijau dan segar yang tetap kena sinaran matahari walau bagaimanapun keadaannya, baik ketika matahari terbit mahupun terbenam.” Beliau melanjutkan lagi : “Demikianlah seorang Mukmin yang terpelihara dari fitnah-fitnah. Adakalanya dia tertimpa fitnah, namun Allah tabahkannya, dia selalu berada dalam empat keadaan berikut : Bila berkata dia jujur, bila menghukum dia berlaku adil, jika diberi ujian dia bersabar dan jika diberi nikmat dia bersyukur. Keadaannya di antara manusia lainnya seperti seorang yang hidup berjalan di tengah-tengah kubur orang-orang yang sudah mati. Zaid bin Aslam mengatakan: “Maksud firman Allah pada ayat ini iaitu pohon zaitun yang terletak di negeri Syam.”
24. Prof Dr. Hasan Syamsi Basya (زيت الزيتون بين الطب والقرءان) :
“Pohon ini (zaitun) memiliki keunikan kerana umurnya yang panjang. Bahkan, andaikata akar tunggangnya mati, dahan-dahannya mampu tumbuh di sekitar akarnya untuk membentuk sebuah pohon baru.”
25. Prof Dr Made Astawan (Sains Makanan & Nutrisi) dalam tulisannya (Fakta Dan Manfaat Minyak Zaitun) :
“Minyak zaitun berasal dari buah zaitun yang merupakan salah satu pohon tertua di dunia. Buah zaitun muda yang bewarna hijau kekuningan kebiasaannya disantap begitu saja atau sebagai penambah rasa, sementara buah zaitun yang matang dan bewarna hitam kerap dijeruk atau diperah untuk diambil minyaknya. Setiap buah zaitun yang matang mengandungi 80% air, 15% minyak, 1% protein, 1% karbohidrat, dan 1% serat.”
26. Imam Daud bin Umar al-Antaki :
“Jika daun zaitun dikunyah, ia akan merawat masalah kerosakan gusi dan ketumbuhan di tekak, dan jika dihancurkan dan dilembapkan dengan air, ia dapat mengubati luka.”
27. Abdullah Ibn Abbas r.a :
“Tujuh puluh orang nabi mendoakan keberkatan pohon zaitun. Di antaranya Nabi Ibrahim a.s, dan antaranya juga adalah Nabi Muhammad SAW, kerana baginda pernah berkata : "Ya Allah, berkatilah minyak zaitun dan pohon zaitun."
28. Ibnu Sina (قانون في الطب) :
“Pohon zaitun adalah pohon besar yang terdapat di beberapa negara, pemerahan minyaknya mungkin dari zaitun mentah atau juga dari zaitun yang telah matang. Minyak yang mengeluarkan hasil yang berganda adalah minyak yang diperah dari zaitun mentah, dan minyaknya biasanya diperah dari zaitun oleh ladang tukang kebun atau juga dari pohon zaitun liar.”
29. Dr. Sabri al-Qabbani ad-Dimasyqi (الغذاء لا الدواء) :
“Manusia telah mengenali pohon zaitun sejak zaman dahulu kala, mereka memanfaatkannya dengan baik, tidak hanya tepu dengan buahnya, bahkan dinyalakan api dengan mengambil minyaknya, dan membuat unggun api dengan memotong kayu-kayunya.”
30. Abu Bakar Muhammad Bin Zakaria Ar-Razi (منافع الأغذية ودفع مضارها) :
"Air perahan zaitun dapat melancarkan buang air besar dan menghilangkan kesan-kesan buruk makanan berminyak dan menguatkan perut. Adapun khasiat minyak zaitun pula lebih sedikit daripadanya."
31. Dr Nazmi Khalil Abu al-‘Atho Musa :
“Minyak zaitun mempunyai banyak manfaat perubatan. Ia melindungi tubuh daripada penyakit jantung, pengerasan arteri. Makan minyak zaitun boleh menenangkan saraf dan menurunkan tekanan darah tinggi. Makan minyak zaitun juga boleh meningkatkan keadaan pesakit yang sakit, kerana dapat mengekalkan kadar gula darah dan trigliserida pada pesakit diabetes.”
32. Imam Sayyid Qutb (تفسير في ظلال القرءان) :
“Di dalam al-Quran jelas menyebut pokok ini mempunyai kesan bagi sekitarnya. Ia adalah pokok yang berumur panjang. Semua bahagiannya bermanfaat bagi manusia, sama ada minyaknya, kayunya, daunnya, mahupun buahnya.”
33. Imam Muhammad Bin Ahmad az-Zahabi (الطب النبوي) :
“Zaitun dikenali sebagai ubat orang miskin. Zaitun hijau mempunyai sifat sejuk kering dan merupakan sumber nutrisi yang baik, dapat menguatkan perut dan merangsang nafsu seksual. Adapun Zaitun masin berkhasiat untuk menyembuhkan luka bakar. Mengunyah daun zaitun juga sangat baik untuk mengatasi penyakit ulser, bisul, bibir pecah-pecah dan ruam.”
Moga bermanfaat.
Fakhrulrazi Ibrahim
Kesihatan Islam & Holistik
Sumber : Facebook Marketing & Sales Olive House