Storytelling 10.05.2021 : Amalkan 7 Langkah Ini Untuk Kekal Sihat !
✨ Pesan Doktor : Amalkan 7 Langkah Ini Untuk Kekal Sihat !
Zaman dulu kita makan makanan yang memberikan tenaga dan kesihatan.
Kesemua makanan adalah natural, tiada banyak bahan perasa, pengawet dan pewarna. Tiada gula tambahan berlebihan.
Contoh kita makan nasi bersama lauk ikan dari sungai, dan ulam. Nasi pun dari beras yang tidak terlalu berproses, berbanding dengan sekarang beras diproses sehingga putih dan berkilat yang tiada lagi fiber, mineral dan vitamin. Begitu juga dengan sayur-sayuran yang ditanam menggunakan baja dan racun kimia. Ikan, ayam dan lembu dikurung dan diberikan dedak.
Amalan perladangan dan penternakan di atas memberikan hasil produksi yang banyak, namun ia tidak memberikan lagi impak kesihatan yang baik.
Bila dibawa ke dapur, kita menambah dengan pelbagai rempah ratus segera, campurkan perasa dan ada yang meletakkan pewarna untuk kelihatan menarik.
Dengan budaya cara memasak begini yang dilakukan bertahun-tahun, ia menjejaskan kesihatan kita.
Jangan seronok sangat jika kita makan makanan tradisi kita seperti kuah lemak dan kuah kari, kerana nilai nutrisi hidangan itu tidak menyamai nilai nutrisi makanan yang disediakan oleh nenek moyang kita dulu.
Kita mungkin mendapat makronutrien, seperti karbohidrat, lemak dan protein tetapi kita kekurangan mikronutrien vitamin, mineral dan antioksida. Malah makronurien yang kita dapat pun dari sumber yang tidak sihat, kerana kita mengambil banyak karbohidrat ringkas berbanding karbohidrat kompleks, kita ambil minyak tidak sihat (transfat) berbanding lemak sihat (unsaturated fat), kita ambil terlalu banyak daging merah, berbanding ikan dan telur.
Tubuh kita membesar dengan lemak, bukan lagi dengan otot. Tubuh kita kelihatan tegap, tetapi dari segi dalamannya kita berpenyakit.
Ramai diantara kita yang mengalami kekurangan hormon. Seorang isteri mengalami kesukaran untuk hamil, seorang ibu mengalami kesukaran menyusukan anak kerana tiada susu ibu. Lelaki muda pula mengalami mati pucuk.
Sebab itu saya dan beberapa rakan doktor berusaha mengajar semula subjek kesihatan, kerana kita sistem pemakanan kita sudah jauh tersasar dan sistem kesihatan kita juga tidak merawat penyakit, tetapi merawat simptom.
Contoh kita hanya berikan ubat tahan sakit untuk sakit kepala, tetapi kita tak pedulikan punca sakit kepala. Kita berikan "ubat" diabetes dan hipertensi hanya untuk mengawal gula dan tekanan darah. Tiada ubat sintetik yg merawat diabetes dan hipertensi. Jadi kita mesti ambil terus ubat-ubat ini untuk mengawal penyakit kita sehingga kita mati. Jika tidak mengambil ubat-ubat ini, ia menjadi tidak terkawal dan akhirnya kita mengalami komplikasi.
Dalam banyak ceramah kesihatan, saya mencadangkan 7 langkah Aafiyat.
1. Banyakkan berpuasa, atau paling tidak menjarakkan makan. Jangan sentiasa mengunyah seperti lembu sebab lembu ada 4 bahagian perut, kita hanya ada satu saja. Ambil sarapan, makan tengahari dan makan malam. Selain itu minum air kosong. Kemudian banyak berpuasa, bermakna kita makan sahur dan berbuka saja. Jika tak mampu amalkan 'Diet Intermittent Fasting', buat waktu malam sebab kebanyakan masa kita berpuasa ketika tidur. Bab 'Diet Intermittent Fasting' saya sudah bincang banyak kali.
Betulkan pemakanan kita, berdasarkan nilai nutrisi (vitamin, mineral dan antioksida), nilai kalori dan nilai Glisemik Indeks. Pilih makanan yang fresh, natural dan tidak berproses.
2. Banyakkan makanan yang disebut dalam al Quran seperti kurma, anggur (dan kismis), pisang, buah zaitun (dan minyak zaitun), buah teen, dan banyak lagi. Cara mencadangkan konsep pemakanan ala Mediterranean iaitu banyak pengambilan protein dari laut (eg. ikan), minyak zaitun dan minyak kelapa, banyakkan sayur dan cuka buah-buahan. Kita ada banyak ulam yang boleh ditanam di sekeliling rumah.
3. Tidur yang cukup 6-8 jam. Tidur sekejap waktu tengahari 10-15 minit. Dapatkan tidur yang nyenyak dan berkualiti kerana tidur adalah waktu rehat untuk tubuh kita membaiki tisu-tisu yang rosak.
4. Minum air secukupnya. Paling kurang 2-2.5L sehari agar organ dapat berfungsi dengan baik.
5. Kawal stess dengan baik. Buangkan semua sifat buruk dalam jiwa kita, seperti dengki dan irihati dengan rezeki orang, mudah sentap dan marah dan selalu tidak puas hati dan banyak komplen. Tambahkan sifat bersyukur, sabar dan redha.
6. Lakukan aktiviti fizikal yang bersesuaian. Banyakkan jalan kaki, memanjat tangga dan mendaki bukit. Lakukan aktibiti moderat seperti mengemas rumah, bercucuk tanam, membasuh kereta. Masalah utama kita adalah bila kita tidak menggerakkan sendi kita.
7. Ambil suplemen vitamin, mineral dan antioksida yang diperlukan. Bukan makanan kesihatan yang ada banyak di pasaran. Suplemen ini penting kerana pada masa usia meningkat, selalunya 40an dan bagi wanita lebih awal (35 ke atas), BMR kita semakin rendah, kita mudah penat, sakit-sakit badan dan sendi. Ini menunjukkan sudah ada keradangan dalam tubuh. Oleh itu kita perlukan vitamin, mineral dan antioksida yang bersifat anti keradangan, seperti vitamin C, vitamin E, vitamin B kompleks, vitamin D, omega 3, glutathione, zink dan selenium. Orang zaman dulu memang tak perlu semua ini tetapi kita kebanyakkannya mengalami kekurangan mikronutrien tersebut kerana makanan kita tidak seperti nenek moyang kita.
Jadi fahamkanlah situasi dan pola kesihatan sekarang yang sangat berubah dan membimbangkan.
Dulu orang sakit adalah orang tua, sekarang semakin ramai orang muda.
Dulu orang yang sakit adalah orang kaya sebab makanan yang mewah dan tak berkhasiat, sekarang orang miskin pun ada penyakit jantung.
Dulu orang yang sakit adalah orang bandar, sekarang mak ayah kita di kampung pun ada diabetes.
Sayangnya ramai (terutama pekerja kesihatan) yang tidak memahami dan bergantung kepada rawatan ubat yang bersifat mengawal penyakit, tetapi tidak mengubati penyakit. Jadi kita kenalah tambahkan maklumat kesihatan yang holistik. Ini tidak bermakna kita tinggalkan ubat sintetik tetapi memahami bahawa ubat-ubat itu adalah sebahagian dari rawatan, dan bukan satu-satunya rawatan.
Bagi fokus sikit pada pemakanan, tidur, stress, air yang kita minum dan aktiviti fizikal kita. Ambil suplemen yang perlu jika kita mengalami kekurangan vitamin, mineral dan antioksida.
Semoga bermanfaat !
#Olivehouse
#KasihRamadhan
#AafiyatLifestyle