Tanda-Tanda Bahaya Yang Ibu Harus ‘Alert’ Ketika Berpuasa?
Sekiranya ibu hamil ingin berpuasa terdapat tanda bahaya yang harus mereka ketahui ketika berpuasa. Hal ini bagi mengelakkan sebarang perkara buruk berlaku kepada diri ibu dan kandungan.
1- Mabuk Pagi Teruk
Hal ini adalah menjadi suatu kebiasaan bagi ibu hamil terutama di awal kehamilan. Kebiasaannya ibu hamil akan mengalami muntah-muntah atau loya. Jika hal ini terlampau teruk, adalah disarankan untuk tidak meneruskan puasa bagi mengelakkan kehilangan tenaga.
2- Hilang Berat Badan
Jika ibu hamil mengalami kesusutan berat badan yang melampau ketika berpuasa adalah digalakkan untuk berbuka puasa. Hal ini kerana, berat badan yang semakin berkurangan sangat merbahaya dan memberi risiko yang besar buat ibu dan kandungan.
3- Kurang Kencing dan Kerap Rasa Dahaga
Jika ibu hamil mengalami simptom kurang kencing dan sering merasa dahaga sehingga kencing menjadi warna gelap serta berbau kuat, itu adalah tanda dehidrasi.
Hal ini sangat merbahaya, kerana boleh mendatangkan kepada risiko jangkitan saluran kencing dan masalah penyakit yang lain. Awas, ibu hamil sekalian!
4- Pening-Pening
Jika ibu hamil turut sering merasa pening-pening, ini juga tanda yang tidak boleh dipandang ringan kerana mungkin disebabkan hipoglikemia atau kekurangan zat makanan.
5- Bayi Kurang Bergerak
Ibu hamil juga harus sentiasa ‘alert’ dengan pergerakan bayi di dalam rahim. Jika bayi kurang bergerak seperti kebiasaan segeralah berbuka puasa dan dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.
6- Hampir Dengan ‘Due-Date’
Jika sudah menghampiri ‘due-date’ untuk bersalin, seeloknya ibu hamil tidak perlu berpuasa kerana bimbang akan berlakunya kes bersalin lebih awal dari tarikh yang ditetapkan. Ini kerana, bagi mengelak ibu kekurangan tenaga ketika bersalin.
7- Kontraksi
Ibu hamil yang berpuasa kebiasaannya akan mengalami kekurangan air di dalam badan. Hal ini boleh membawa kepada kekurangan cecair di dalam badan lalu membuatkan kontraksi palsu. Segeralah mendapatkan rawatan dan pemeriksaan dari doktor jika berhadapan situasi seperti ini.
Oleh itu, isu ibu hamil dan puasa di bulan Ramadan ini seharusnya tidak menjadi perdebatan. Tetapi lebih ke arah hak individu ibu hamil sendiri. Para wanita seharusnya sentiasa memberi dorongan yang baik sesama wanita dan sentiasa menjaga kesihatan diri dan kandungan.
Jika terdapat sebarang pertanyaan dan masalah haruslah mendapat nasihat dari yang pakar iaitu doktor dalam memastikan kesihatan sentiasa terjaga. Salam Ramadan semua ibu-ibu sekalian!