Q&A Fruktosa
SALAH FAHAM MENGENAI FRUKTOSA
Assalamuaikum Dr Zubaidi. Saya membaca di internet yang mengatakan fruktosa itu bahaya. Persoalannya fruktosa hanya ada dalam buah atau juga dalam madu? Terima kasih.
Walaikumusalam. Ini soalan yang menarik kerana ia mengundang banyak salah faham.
Fruktosa adalah jenis gula ringkas (seperti juga glukosa) yang ditemukan secara natural dalam berbagai buah, sayuran, dan madu. Fruktosa berasa manis, berbanding dengan glukosa. Sebab itu ia ekstrak dari buah, terutamanya jagung untuk mendapat rasa yang manis. Produk yang menghasilkan rasa manis ini dari biji jagung dikenali sebagai sirap jagung tinggi fruktosa atau high-fructose corn syrup (HFCS).
Kenapa fruktosa diekstrak biji jagung?
Ini kerana jagung mempunyai rasa yang manis, lebih sedap dan ia banyak diusahakan secara besar-besaran. HFCS mengandungi campuran glukosa dan fruktosa, biasanya dalam nisbah yang hampir sama.
Oleh itu jika diambil terlalu banyak menyebabkan
1. Obesiti: Pengambilan HFCS yang berlebihan boleh meningkatkan risiko obesiti kerana fruktosa dalam HFCS diubah menjadi lemak dan disimpan dalam hati dan sel-sel lemak di seluruh tubuh.
2. Diabetes: HFCS boleh menyebabkan pengumpulan lemak perut dan resistensi insulin, yang meningkatkan risiko diabetes jenis 2.
3. Masalah Kesihatan Lain: Pengambilan HFCS yang berlebihan juga dikaitkan dengan penyakit jantung dan masalah penyakit hati berlemak.
Namun begitu, fruktosa dalam buah-buahan adalah manisan semula jadi dan biasanya disertai dengan serat, vitamin, dan mineral yang bermanfaat. Jika ia dimakan secara keseluruhannya (tidak menjadikan sebagai jus tanpa serat), ia dapat membantu mengurangkan kesan negatif fruktosa kerana serat dalam buah melambatkan penyerapan gula dalam darah.
Selain itu kandungan fruktosa dalam buah-buahan tidak terlalu tinggi dan kita tidak mengambil buah-buahan ini terlalu banyak. Selalunya kita ambil dua biji epal atau mangga setiap hari. Dengan adanya serat dalam buah, penyerapan fruktosa dan glukosa menjadi perlahan. Jadi secara keseluruhannya pengambilan buah tanpa dibuat jus tanpa serat walaupun mengandungi fruktosa ia adalah tidak berbahaya.
Madu juga mengandungi fruktosa, tetapi dalam bentuk semula jadi bersama dengan glukosa, vitamin, dan antioksidan. Oleh itu madu lebih baik daripada HFCS, dan tidak mendatangkan kemudaratan jika diambil secara bersederhana. Pengambilan satu atau dua sudu madu yang asli dan natural sehari tidak memberikan kesan negatif, malah ia memberikan kesan yang baik.
Semoga menjawab persoalan yang ditanyakan.