Apa Itu Diet Keto?
APA ITU DIET KETO?
Diet keto atau Diet Ketogenik adalah diet yang melibatkan menu makanan rendah dengan karbohidrat, protein yang sederhana dan tinggi dengan lemak bagi membantu kita membakar lemak badan dengan lebih berkesan.
Ia mempunyai banyak kebaikan terutamanya bagi tujuan kesihatan dan menurunkan berat badan. Ia telah terbukti dalam banyak kajian saintifik yang diterbitkan dalam journal. Ramai doktor dan para pengamal kesihatan telah mula mengesyorkan Diet Keto sebagai solusi kepada masalah penyakit metabolik terutamanya
dalam merawat penyakit Diabetes Jenis-2.
Diet ini dinamakan “Keto” atau “Ketogenik” kerana badan tubuh akan menghasilkan sebatian “ketone” yang bertindak sebagai bahan bakar alternatif kepada tubuh (terutama untuk otak) ketika kekurangan gula (glukosa) dalam darah (atau kita berpuasa). Jadi secara mudah, ia meningkatkan penghasilan tenaga tanpa peningkatan gula dalam tubuh.
Diet Ketogenik juga membantu mengurangkan rasa lapar dan lebih bertenaga untuk menjalankan aktiviti harian tanpa perlu mengambil gula dalam pemakanan.
Penghasilan ketone dalam tubuh menyebabkan tubuh berada dalam keadaan “Ketosis”. Ia dapat dilakukan dengan pengambilan minyak atau lemak sihat dan berpuasa.
Elakkan makanan yang berkarbohidrat tinggi.
Jumlah Karbohidrat dikekalkan tidak melebihi 50 gram bersih sehari dan yang terbaik, bawah 20 gram sehari.
Oleh yang demikian, pengiraan jumlah pengambilan Karbohidrat dalam pemakanan kita adalah penting.
Makanan yang harus dielakkan adalah makanan yang mengandungi Karbohidrat tidak kira gula mahupun Kanji. Contoh makanan berkanji adalah seperti roti, pasta, kentang dan nasi.
Makanan yang diproses juga perlu dielakkan sebaiknya termasuklah mana-mana produk rendah-Lemak. Hal ini kerana Diet Keto sepatutnya mengandungi jumlah Protein yang sederhana tinggi dan tinggi dengan Lemak sihat bagi tujuan penghasilan tenaga oleh badan. Produk Rendah-Lemak kebiasaannya mengandungi jumlah Karbohidrat yang tinggi manakala kandungan Protein dan Lemaknya adalah rendah.
Minum air mineral atau air kosong sudah memadai. Teh dan Kopi juga dibenarkan, akan tetapi, ianya lebih baik jika anda tidak memasukkan susu dan gula. Boleh guna stevia atau monk fruit.
Selamat Berdiet Keto.