Info Aafiyat: Pencemaran Udara Dan Kesihatan Jantung
“Ayah, kenapa ayah selalu bersenam?”
Terpacul soalan dari Hannah sebaik aku masuk ke rumah usai melunaskan hak tubuh 10 ribu langkah sehari. Menikmati udara segar sambil menyerap vitamin D percuma dari mentari pagi yang dah jadi rutin. Rasa bersalah macam buat salah berat je bila tak dapat laksanakan setiap hari.
“Hannah selalu lihat Umi menyapu dan vakum rumah setiap hari kan? Kenapa Umi kena buat setiap hari?”
Aku cuba untuk merangsang Hannah berfikir dengan mengingati perkara-perkara mudah yang dilihatnya setiap hari.
“Ada banyak habuk. Nanti Hannah batuk! Debu tak bagus untuk kesihatan kita kan ayah?”
Spontan Hannah menjawab.
“ Bijak anak ayah. Betul tu Hannah. Udara di sekeliling kita ada banyak habuk halus yang boleh menyempitkan salur darah kita. Ayah bersenam untuk menguatkan otot jantung ayah supaya tidak mudah menjadi sempit. Bila bersenam, otot jantung ayah aktif bekerja mengepam darah ke seluruh tubuh. Bila darah mengalir laju, dia boleh tolak jika ada sumbatan ringan di salur darah ayah.”
“Ayah ni hebatlah. Semua ayah tahu!”
Hannah seperti biasa bermulut manis. Seperti anak-anak kecil lain yang melihat ibu ayah mereka sebagai hero mereka.
Ramai tak sedar sebenarnya pencemaran udara juga antara punca kepada masalah berlakunya aterosklerosis iaitu plak menempel di dinding arteri. Biasanya kita selalu dengar masalah aterosklerosis ni berpunca dari kolestrol sahaja. Betul tak?
Di Amerika mengikut data The American Heart Association, setiap 40 saat akan ada kematian berlaku disebabkan masalah kardiovaskular. Kajian penyelidikan pada tahun 2004 di Universiti Washington yang ditaja oleh EPA mendapati terdapat kaitan rapat antara pencemaran udara dengan masalah berkaitan kardiovaskular dalam kalangan individu sihat. Kajian tersebut berlangsung selama 10 tahun melibatkan 6000 individu di Amerika.
Kesihatan adalah mahkota di atas kepala orang yang sihat yang hanya mampu dilihat oleh orang yang sakit. Sihat itu jihad!
Sama-sama kita amalkan gaya hidup aafiyat.🤗
Sumber:
(1) Linking Air Pollution and Heart Disease | US EPA
(2) Multi-Ethnic Study of Atherosclerosis (MESA) Air Study | US EPA