Pengetahuan Am : Vertigo
Apakah Itu Vertigo?
Vertigo adalah perasaan yang berasa badan berpusing-pusing atau rasa persekitaran anda berpusing.
Apakah punca Vertigo?
Punca Vertigo adalah disebabkan :
- Jangkitan telinga dalam (vestibular neuritis akut atau labyrinthitis).
- Berlaku secara sekali sekala, berkaitan dengan perubahan kedudukan badan [Benign Paroxysmal Positional Vertigo (BPPV)].
- Penyakit Meniere’s – berlaku disebabkan oleh pengumpulan cecair dan perubahan tekanan dalam telinga.
- Migrain Vestibular – pengidap migrain yang juga mengalami masalah vertigo.
- Gangguan keresahan (Anxiety disorders).
- Mastoiditis (radangan pada mastoid).
- Kurang aliran darah ke telinga tengah akibat atherosclerosis (plak lemak dalam salur darah) terutama pesakit Diabetes Mellitus (Kencing manis), Hypertension (Darah tinggi) dan Hypercholestrolaemia (berlebihan kolestrol dalam darah).
Apakah rawatan untuk vertigo?
Rawatan untuk Vertigo bergantung kepada puncanya:
1. Jangkitan Telinga Dalam (vestibular neuritis akut atau labyrinthitis)
- Rawatan melalui ubat untuk mengawal mual dan pening akan diberikan kepada pesakit. Sekiranya pegawai perubatan mengesyaki jangkitan bakteria, ubat antibiotik akan diberikan. Jika simptom pening ini berterusan, senaman latih keseimbangan (vestibular rehabilitation) akan diajarkan kepada pesakit bagi melatih semula otak pesakit dalam mengendalikan ketidakseimbangan vestibular.
2. Benign Paroxysmal Positional Vertigo (BPPV).
- Penyakit ini tidak merbahaya dan mampu pulih sendiri tanpa rawatan. Walau bagaimanapun, jika simptom berpanjangan, ubat dan senaman latih keseimbangan akan diberi. Canalith repositioning merupakan prosedur rawatan lain yang dijalankan untuk merawat BPPV.
3. Penyakit Meniere’s
- Perawatan penyakit ini bertujuan untuk mengurangkan dan mengawal simptom. Rawatan bergantung kepada individu dan termasuk ubat-ubatan seperti ubat diuretik (buang cecair badan), senaman latih keseimbangan, perubahan gaya hidup dan pemakanan seperti mengurangkan garam dalam makanan). Oleh kerana pesakit boleh juga mengalami telinga berdengung (tinnitus) dan kurang pendengaran maka rawatan pengendalian tinnitus dan alat bantuan pendengaran mungkin diperlukan. Dalam keadaan tertentu, pembedahan mungkin diperlukan.
4. Migrain Vestibular
- Pesakit perlu mengelakkan sesetengah makanan yang boleh mencetuskan serangan migrain contohnya coklat, keju, makanan mengandungi MSG dan alkohol. Pesakit perlu belajar untuk menghindari perkara yang menyebabkan tekanan perasaan. Pastikan mendapat tidur yang mencukupi. Sekiranya symptom berterusan, pegawai perubatan mungkin memberikan ubat untuk migrain dan vertigo.
5. Gangguan keresahan (Anxiety disorders)
- Pesakit perlu menjalani sesi kaunseling untuk mengatasi gangguan keresahan yang dihadapi. Bagi kes-kes tertentu, pegawai perubatan akan memberikan rawatan ubat anti-keresahan.
Sumber : http://www.myhealth.gov.my/sesak-nafas-2/