Berenang Adalah Aktiviti Fizikal Yang Terbaik
BERENANG ADALAH AKTIVITI FIZIKAL YANG TERBAIK
Berenang merupakan antara aktiviti yang terbaik dilakukan untuk merehatkan minda dan membantu mengurangkan tekanan.
Aktiviti ini tidak memerlukan kos tinggi dan merupakan aktiviti kedua popular sebagai kaedah senaman dinamik selepas aktiviti berjalan kaki.
Ia melibatkan pergerakan kesemua anggota badan. Jika tidak mampu berenang dengan baik, melakukan aktiviti seperti bermain bola (menggunakan tangan) atau sekadar melompat setempat, juga digalakkan.
Semasa berenang, otot-otot dan tulang rangka kita ditugaskan membuat satu gerakan yang berkoordinasi antara dua anggota kaki dan tangan yang merangsang sistem kardiovaskular.
Ayunan tangan terkawal ini meningkatkan pengambilan oksigen maksimum dengan menggunakan organ diafragma.
Pengambilan nafas panjang yang berulang kali semasa ayunan ini membuatkan kadar jantung menjadi selari dengan pernafasan dan menyebabkan pengeluaran endorfin iaitu hormon penenang semula jadi oleh otak.
Berenang juga adalah salah satu latihan kardio untuk membakar tenaga dan sesuai bagi pesakit dengan berat badan berlebihan atau obesiti, terutama yang menghidapi arthritis iaitu sakit sendi.
Daya apungan bukan sahaja membolehkan pergerakan dinamik dilakukan bersama-sama regangan otot, namun turut mengurangkan 80 peratus beban graviti pada sendi seperti lutut dan pinggul sekali gus merendahkan risiko kemudaratan pada bahagian itu.
Jadi jika ada peluang, jom kita ke kolam renang. Ajarkan anak-anak kita berenang kerana ia sebahagian riadah yang digalakkan dalam Islam.