Aafiyat Sharing : Penyakit Kencing Manis Menyebabkan Komplikasi Masalah Jantung?
Razali yang berumur 35 tahun, seorang arkitek di sebuah firma terkenal telah terkena serangan jantung ketika sedang bekerja di pejabatnya.
Kejadian serangan jantung tu sangat mengejutkan dan tidak dijangka. Siapa sangka pada umur 35 tahun, tiada sejarah masalah kesihatan tiba-tiba mendapat serangan jantung.
Apa yang Razali tidak perasan selama ini ialah beliau sebenarnya sudah ada penyakit kencing manis. Oleh kerana tidak mempunyai tanda yang serius, beliau tidak pernah membuat pemeriksaan kesihatan.
Mengimbas kembali diet pemakanannya, beliau menjelaskan rutin kerjanya yang sibuk dan mengejar masa membuatkannya sering memilih makanan segera dan minuman ringan. Minuman kopi dalam tin juga antara kegemaran beliau ketika berjaga malam untuk menyiapkan tugasan kerja.
Kandungan gula dalam darah yang tinggi kesan daripada diabetes boleh merosakkan saluran darah dan saraf yang mengawal jantung. Lama kelamaan, kerosakan ini boleh menyebabkan penyakit jantung. Ramai yang tak tahu orang yang menghidap penyakit kencing manis cenderung menghidap penyakit jantung pada usia yang lebih muda daripada orang yang tidak mempunyai penyakit kencing manis.
Ketika serangan berlaku syukur teman-temannya bertindak pantas memanggil ambulan. Jika terlambat, kemungkinan besar beliau tidak dapat diselamatkan. Setelah menjalani siri rawatan akhirnya Razali kembali boleh menarik nafas lega.
Namun, apa yang menyedihkan, Razali terpaksa menerima hakikat untuk mengambil ubat seumur hidup atau sehingga doktor menyatakan sebaliknya dan wajib menjaga kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
Demikian kisah anak muda yang telah mendapat penyakit kencing manis dan serangan jantung pada usia yang sangat muda. Dan ini bukanlah yang pertama kali kerana saban tahun, purata kes direkodkan semakin meningkat dan kita boleh membacanya di laman media dan di dada-dada akhbar.
Betul, jodoh pertemuan, ajal dan maut adalah takdir yang tidak dapat dielakkan. Apa yang boleh kita lakukan sebagai persiapan adalah dengan mengamalkan gaya hidup aafiyat. Sihat itu jihad!💪