Rahsia Daun Zaitun: Alternatif Semulajadi Untuk Mengawal Tekanan Darah
RAHSIA DAUN ZAITUN: ALTERNATIF SEMULAJADI UNTUK MENGAWAL TEKANAN DARAH
Pengambilan minyak buah zaitun merupakan amalan yang tidak asing lagi dalam kalangan rakyat
Malaysia. Ia dikategorikan sebagai minyak sihat, yang kaya dengan kandungan asid lemak tidak tepu
seperti asid oleik, asid linoleik dan asid alfa-linolenik. Tambahan lagi, kandungan polifenol seperti
hydroxytyrosol yang terdapat dalam minyak zaitun menjadikannya makanan pilihan dalam diet sihat.
Minyak zaitun bukan sahaja digunakan dalam masakan harian, tetapi juga menjadi pilihan untuk
meningkatkan kesihatan secara holistik.
Selain daripada minyak buah zaitun, daun zaitun juga merupakan bahagian tumbuhan dengan
pelbagai manfaat kesihatan tetapi kurang mendapat perhatian. Daun zaitun mengandungi polifenol aktif
iaitu oleuropein, hydroxytyrosol, tyrosol, ligustroside dan lain-lain yang bermanfaat kepada kesihatan.
Banyak kajian telah membuktikan bahawa ekstrak daun zaitun membantu mengawal tekanan darah,
meningkatkan kesihatan jantung, melawan radikal bebas serta memiliki potensi melawan jangkitan.
Dalam satu kajian, ekstrak daun zaitun diberikan kepada 72 orang pesakit darah tinggi tahap satu
selama dua bulan bagi mengawal tekanan darah. Kesan ekstrak tersebut dibandingkan dengan ubat darah
tinggi komersial iaitu Captopril. Hasil kajian mendapati ekstrak daun zaitun pada dos 500 mg diambil dua
kali sehari, menurunkan tekanan darah sistolik (SBP) dan tekanan darah diastolik (DBP) secara signifikan.
Kesan ini menyamai kesan Captopril pada dos efektifnya iaitu 12.5–25 mg. Selain itu, pesakit yang
mengambil esktrak daun zaitun menunjukkan penurunan kolesterol dan trigliserida yang ketara
berbanding pesakit yang mengambil Captopril. Kajian ini membuktikan bahawa ekstrak daun zaitun
mampu menurunkan tekanan darah setanding dengan ubat konvensional (Captopril) selain memberikan
manfaat tambahan iaitu mengurangkan aras kolesterol dan trigliserida dalam kalangan pesakit darah
tinggi tahap satu.