Cara Pemakanan Pesakit Buah Pinggang Berbeza Bagi Mengelak Komplikasi Lebih Serius
Cara Pemakanan Pesakit Buah Pinggang Berbeza Bagi Mengelak Komplikasi Lebih Serius
Data Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun lalu menunjukkan kira-kira 106,000 pesakit buah pinggang dijangka mengalami kegagalan tahap akhir organ itu menjelang 2040 dengan 35 peratus adalah golongan berusia 45 tahun.
Pegawai Dietetik, Program Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Hakim Zakaria, berkata data itu juga menunjukkan lebih 64 peratus yang menjalani rawatan dialisis adalah mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes dan golongan berkenaan paling berisiko menghidap penyakit buah pinggang.
Lebih 850 juta penduduk dunia menghidap penyakit buah pinggang manakala di Malaysia pula lebih 4.7 juta individu menghidap penyakit buah pinggang kronik dengan pertambahan sekitar 9,500 pesakit baharu setiap tahun dan lebih 49,000 pesakit sedang menjalani rawatan hemodialisis di seluruh negara pada 2022.
"Selain dari pesakit kencing manis, antara golongan yang turut berisiko adalah pesakit hipertensi, batu karang, obesiti, pesakit yang memiliki sejarah keradangan buah pinggang dan pesakit yang kerap mengamalkan pengambilan produk tertentu," katanya.
Beliau berkata, cara pemakanan bagi pesakit buah pinggang kronik atau 'Cronic Kidney Disease' (CKD) dan 'End Stage Renal Failure' (ESRF) adalah sangat berbeza serta perlu diberi perhatian khusus berbanding individu sihat bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.
"Bagi pesakit ini terutamanya pesakit kronik, mereka perlu mengawal pengambilan protein pada tahap yang minima sekitar 0.6 gram (g) per kilogram (kg) berat badan dan bagi pesakit yang menjalani rawatan dialisis, mereka perlu mengambil protein lebih tinggi iaitu sekitar 1.2g per kg berat badan.
"Ini disebabkan pesakit yang menjalani dialisis memerlukan pertukaran protein yang lebih tinggi kerana sebilangan protein sedia ada dalam badan dibuang semasa proses dialisis berjalan sekitar 10g hingga 14g," katanya.
"Komponen dalam makanan pesakit CKD dan ESRF adalah sama, namun sukatannya berbeza. Contohnya sukatan cecair dan garam bagi pesakit yang menjalani dialisis perlu mengikut saranan sukatan pengambilan makanan kerana dibimbangi terjadi masalah sembab atau pembengkakan jantung tetapi bagi pesakit CKD tidak perlu kerana masih boleh mengeluarkan urin dan sebagainya", katanya.
Mohd Hakim berkata, pesakit buah pinggang juga perlu mengawal pengambilan fosfat yang tinggi seperti air berkarbonat dan makanan berproses kerana boleh menyebabkan tulang rapuh, masalah jantung dan pembengkakan kelenjar paratiroid.
"Gejala potassium tinggi dalam darah iaitu hyperkalemia yang terkandung dalam makanan seperti kurma, durian, cempedak, nangka, pisang, makanan dalam tin dan herba juga boleh mengakibatkan ketidakstabilan kepada degupan jantung dan seterusnya mengakibatkan komplikasi serius.
"Sekiranya individu berkenaan sedang menghidapi apa-apa penyakit metabolik seperti diabetes, darah tinggi atau kolesterol, mereka perlu memantau tahap gula dan kolesterol dalam darah.
"Ini disebabkan kandungan gula dalam darah yang tak terkawal terutamanya bagi pesakit diabetes berisiko menyebabkan nefropati diabetik iaitu kegagalan tisu buah pinggang yang disebabkan oleh masalah diabetes" katanya.
Justeru beliau menasihatkan orang ramai yang suka membeli ubat-ubatan secara atas talian supaya merujuk kepada doktor terlebih dahulu bagi mengelak sebarang tindak balas sehingga menjejaskan kesihatan mereka.
"Dalam masa sama, mereka juga perlu mengambil langkah dengan merujuk kepada institusi kesihatan sekiranya berlaku sebarang masalah kepada kesihatan.
"Penjagaan buah pinggang sangat penting bagi mengelak sebarang kerosakan dan kemerosotan fungsi buah pinggang yang boleh menyebabkan gangguan kepada fungsi sedia ada dan menjerumuskan seseorang pesakit kepada tahap penyakit buah pinggang kronik serta kegagalan buah pinggang," katanya.