Hentikan Minum Air Berkarbonat (GAS)
HENTIKAN MINUM AIR BERKARBONAT (GAS)
Semalam ada yang PM saya dan bertanya masalah anaknya berusia 15 tahun tetapi sudah ada penyakit diabetis mellitus. Tubuhnya tidak obese. Doktor telah memulakan rawatan suntikan insulin.
Semasa kanak-kanak, tanpa disedari, anaknya sering minum air berkarbonat dan air manis dalam kotak.
Jadi beliau bertanya, bolehlah dia menyertai program Diet Sihat?
Sedih saya mendengar cerita ibu ini. Boleh sertai, insyaallah kita fokus kepada pemakanan yang sihat.
Minuman berkarbonat ini sangat popular dalam kalangan kanak-kanak mahupun orang dewasa kerana
rasa yang sedap dan ia menghilangkan rasa haus terutama di musim panas.
Tetapi ia berbahaya jika diambil untuk jangka masa yang lama. Contohnya mengambil minuman ini setiap hari akibat 'craving'.
Ada sebab saya berkata begitu,
1. Tinggi kalori tanpa nutrisi
Sebotol air gas 600 ml mengandungi 17 sudu teh gula dan 240 kalori tanpa sebarang nilai nutrisi didalamnya. Ibarat air kosong yang ditambah perisa dan gula sahaja. Tiada vitamin dan nutrisi lain di dalamnya.
Sebagai perbandingan, untuk membakar tenaga yang ada dalam minuman itu, kita perlu berjalan selama satu jam.
2. Meningkatkan risiko obesiti
Mereka yang gemar minum air ini lebih berisiko untuk mengalami obesiti dan diabetis. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2017, 1 daripada 3 remaja sekolah menengah di Malaysia mengambil air berkarbonat sekurang-kurangnya sekali sehari.
3. Risiko penyakit diabetis
Di Malaysia terdapat banyak kes remaja yang menghidap diabetis kerana tabiat pengambilan air ini semenjak kanak-kanak tanpa pantauan ibu bapa. Remaja begini tidak obese kerana mereka aktif dalam aktiviti sukan, tetapi mengalami diabetis. Jadi tidak semestinya remaja yang kurus, tiada diabetis.
4. Risiko serangan sakit jantung
Banyak kajian yang menunjukkan minum air berkarbonat menyebabkan serangan sakit jantung. Mengambil 3 tin air ini sehari meningkatkan risiko serangan sakit jantung sehingga 3 kali ganda di kalangan pesakit obese dan yang mengalami tahap kolesterol jahat yang tinggi.
5. Kanak-kanak menjadi lebih agresif
Air berkarbonat ini boleh membuatkan kanak-kanak menjadi lebih aktif dan agresif berbanding kanak-kanak lain. Mereka juga kecenderungan untuk menggunakan objek-objek bahaya.
6. Tidak sihat untuk gigi
Minuman ini mempunyai pH yang rendah sehingga 2.5. oleh itu ia bersifat asid dan boleh merosakkan lapisan enamel pada gigi.
Jadi pilihlah minuman yang membuatkan kita lebih sihat. Tabiat menghindarkan minum bergas ini harus dipupuk di kalangan anak-anak kita. Tunjukkan contoh. Insyaallah generasi kita akan lebih sihat.
Semoga Bermanfaat>